RAMADHAN kini
menjelma lagi. Bulan yang menjanjikan pelbagai tawaran ibadah bagi golongan
yang ingin mendekatkan diri kepada Allah. Maka ia sepatutnya dianggap sebagai
‘festival ibadah’ dan bukannya pesta untuk memenuhkan perut.
Kedatangan Ramadhan disifatkan
sebagai bulan yang penuh keberkatan atau “al-Mubarak”. Rasulullah s.a.w.
menyebut dalam sebuah hadith tentang Ramadhan sebagai : “Awalnya dipenuhi
rahmat, pertengahannya dihiasi keampunan dan penghujungnya dijanjikan dengan
pembebasan dari azab neraka.”
Kerana itu bulan Ramadhan sangat
sinonim dengan akhlak sabar yang perlu diterapkan dalam diri seorang muslim.
Sabar bukan sahaja bererti dapat menahan diri terhadap segala ujian yang
menimpa. Ia juga bermaksud dapat menahan diri daripada melakukan sebarang
maksiat yang sememangnya dimurkai oleh Allah.
Oleh itu, sayugia kita merebut
peluang yang amat sukar diperolehi ini. Entahkan bila Ramadhan yang datang
dapat kita bertemu lagi. Justeru amatlah rugi bagi sesiapa yang
mensia-siakan kedatangan Ramadhan kali ini dengan kekal malas melakukan ibadah.
Sebaliknya dia berterusan membiarkan dirinya terperangkap dalam kancah dan
budaya mazmumah.
Niat Puasa Ramadhan
Lafaz niat untuk sebulan puasa
Sahaja aku berpuasa keseluruhan bulan
Ramadhan kerana Allah Ta”ala
Lafaz niat puasa (harian)
Sahaja aku berpuasa esok hari
menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala
Doa Berbuka Puasa
Ya Allah bagi Engkau aku berpuasa dan
dengan Engkau beriman aku dengan rezeki Engkau aku berbuka dengan rahmat Engkau
wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang.
Doa Selepas Berbuka Puasa
Ya Allah! Kerana Engkau aku berbuka
puasa dan kepada Engkau aku beriman dan atas rezeki dari Engkau aku berbuka
puasa telah hilang dahaga sudah menjadi basah segala urat. Ya Allah! Aku minta
diampuni dosaku dengan rahmat Engkau yang meliputi segala sesuatu.